Morbid & Melankoli

Ini ialah ulasan separa masak dari kacamata sempit (sudutpandang, usaha & masa) untuk buku Tentang & Kentang oleh Saharil Hasrin Sanin.


Perenggan pertama Tentang dimulakan dengan "Helo!...nampaknya kita akan mati hari ni". Esei pertama pula mengenai kematian seorang rakan lama. Esei kedua menyentuh (haha) hal mutilation pada anggota badan. Tema yang sama seakan diulang dalam esei-esei lain.

Esei ketiga contohnya, ada disebut kebebasan yang makin pupus dan bahasa yang sedang dibunuh. Diikuti pula dengan kisah seorang puteri mati di Paris dan seterusnya seekor gagak mati di Batu Caves (tiada kaitan antara kedua-dua kes). Esei keenam pula kisah fantasi romantika yang mati dibunuh realiti dan pengkebumian puteri yang mati tadi.

Berikutnya diceritakan kematian paderi yang dibunuh oleh raja gila perang, kematian rasionalisme dibunuh komersialisme, mandi mayat mengikut sunah(sic) dan kematian sementara (baca: tidur). Juga hors d'oeuvre kanibal, versi asal yang lebih raw.

Sebelum ada yang protes kata "ini bukan ulasan, ini ringkasan, saripati buku Tentang!" dan menuduh saya main tipu, rasanya cukuplah beberapa contoh di atas untuk menjelaskan tema yang saya pilih yang saya rasa paling jelas ada dalam Tentang.

Sudah tentu, ini memang jelas kelihatan kalau membaca Tentang dengan niat nak kaitkan dengan tema yang gelap. Kalau nak kaitkan dengan tema yang lebih terang, tema cinta contohnya, juga boleh. Tapi, mungkin itu idea untuk orang lain ulas. Saya suka dengan tema gelap sebab ia lebih sesuai dengan watak kucing hitam yang patuh pada rukun manly! Entah apa-apa.

Seperti yang saya katakan pada Nusra, baca Tentang memang datang rasa melankoli. Entah apa la yang melankoli sangat. Mungkin kerana mood eseinya yang gelap (ya, saya sendiri yang pilih untuk lihat dari sudut ni, bukan salah Saharil) atau mungkin juga kerana memang saya sendiri keliru dengan paradoks dan surrealisme, serta jalinan antara realiti dan fiksyen yang tidak jelas mana hujung mana pangkal, mana mula mana akhiran (ini komplimen!) yang Saharil tonjolkan.

Bercakap pasal tonjol (haha), saya perasan tak ramai yang ulas Kentang dengan panjang lebar. Mungkin ramai juga yang sama macam saya, tak berani untuk secara terang mengaku faham Kentang dengan jelas.

Saya pernah komen dalam blog Saharil yang maksud ilustrasi dalam Kentang mungkin tak sampai kepada pembaca kerana tiada teks tambahan untuk menerangkannya dan tiada konteks yang diberikan. Ianya cukup cryptic untuk difahami as is. Tapi sebenarnya itulah cabarannya: Untuk ditafsir ikut sukahati.

Sukahati, dengan minda yang lapang/matang dan sedikit educated guess, mungkin. Kerana ramai juga yang melatah dan keluarkan reaksi berdasarkan faham cetek tafsir imej di permukaan semata. Dan ramai yang anggap Kentang cuma bahan lelucon untuk dibaca diiring gelak tawa.

Hey, to each his own.

Kerana untuk faham ilustrasi dalam Kentang itu (juga dalam blog grafik Saharil) sama seperti Saharil faham, itu adalah mustahil.

Jika lisarosalina sama kan pengalaman membaca Tentang seperti menonton Inception, pada saya, membaca Kentang sama seperti membaca To Kill A Mockingbird. Dan Saharil (atau mungkin ilustrasinya) itu ialah Boo Radley yang karekternya sering disalahertikan kanak-kanak di kawasan perjiranannya.

Untuk faham ilustrasi ringkas tapi kompleks pelbagai lapis ini sama seperti Saharil faham, adalah mustahil kerana...saya rasa kata-kata Atticus Finch ini cukup sesuai untuk sampaikan apa maksud saya:

You never really understand a person until you consider things from his point of view... until you climb into his skin and walk around in it.

Maka, untuk memahami ilustrasi dalam Kentang sama seperti yang Saharil faham, perlu tahu psyche Saharil, dan tahu apa yang ada dalam mindanya, alami apa yang sedang/telah dia alami, baca apa yang dia baca, tonton apa yang dia tonton, rujuk pada rujukan yang sama dan tahu isu semasa. Mustahil kan? LOL

Mungkin buku Kentang dan blog grafiknya cuma satu eksperimentasi sosial. Untuk mengukur tahap latah pembacanya selepas diasak imejan tersirat mesej subliminal. Dan kita-kita ini, cuma tikus makmal yang dicucuk dengan pelbagai stimuli semata-mata untuk keseronokan Saharil seorang. ;p

Sudah saya katakan, ini ulasan separa masak dari kacamata sempit. Kalau mahu baca ulasan yang lebih sempurna (bagi saya), sila baca yang ini atau yang ini.

---
gambar Tentang & Kentang via Sindiket Sol-jah