Wahai anak-anakku bangsa merdeka!
Di terang bulan bumi bertuah ini
kita berjanji memagar setia membentang pertiwi
bukan menabur dendam di bendang fikir
yang suburnya mencambah prasangka -
tanpa kubu yakin batas sabar
kita hanyut ditelan emosi.
Biar politikus yang rakus
menyembah rempah-ratus politik emosi ras
mendidih kawah kata dan kuali isu yang panas
melontar hujahan falasi dan retorik kosong
api perkauman membahang menembus lapisan ozon
menala kompang perkauman di ceruk desa
memalu gendang cauvinis di sudut kota
berbajukan kebenaran bertopengkan hak
memancing undi mengisi raga-raga politik
memenuhkan kantung kepentingan diri
kita menghitung berapa raga miskin
yang ditanggung generasi ke generasi
di meja tersaji janji hidangan kempen
meneriakkan santapan hak asasi
kaum sendiri-sendiri
menempikkan ratapan suara demokrasi yang basi
kebenaran, apa bangsamu
kebenaran, mana asalmu
kebenaran, apa jantinamu.
Kebenaran bukan tidak berganjak dari tradisi
kerana tradisi tidak semestinya berisi
kebenaran bukan suara majoriti
kerana majoriti tidak semestinya berinti.
Ingat! bangsa-bangsaku anak merdeka
layarkan bahtera faham ke sungai harmoni
kita persiapkan tingkah gagah
semangat besi waja
lautan hadapan menunggu kita!
- Lim Kim Hui, 1991-1992.