Pulut
Tiga bulan. Hujung minggu ini akan genap tiga bulan gajinya tak dibayar.
Pada usia 25 tahun, hutang ditanggungnya sudah lebih 30 ribu. 34,503.90 sebenarnya. Dan jumlah hutangnya akan bertambah sebanyak 78.13 setiap bulan.
Ketika graduasi, dikelilingi keluarga yang tersengih-sengih macam kerang, hatinya langsung tak gembira. Sebab dia sedar yang dia akan habiskan sebahagian besar saki baki hidupnya untuk bayar hutang. Dan tanggung beban-beban lain yang terlalu kompleks untuk fiksyen basa-basi begini (kerana semua orang pun ada beban-beban kompleks mereka sendiri, jadi tak perlu dipanjangkan macam dia punya istimewa sangat).
Walaupun gaji tertunggak, dia tetap kerja keras. Setiap hari, tekun hadap komputer. Di pejabat dari 8 pagi sampai 7 malam. Dia rasa matanya semakin rabun. Mungkin juga cuma ilusi. Tapi rasanya macam betul.
Kadang-kadang tak nampak jauh. Kadang-kadang tak nampak dekat. Kadang-kadang tak nampak apa pun. Mungkin lebih teruk dari rabun. Mungkin tanda nak buta agaknya. Mungkin sebab dia selalu tonton porno di pejabat bila semua orang dah balik rumah. Mungkin itu balasan tuhan. Mungkin juga cuma ilusi. Tapi rasanya macam betul.
Dia rasa dia ada krisis pertengahan usia yang dia dengar selalunya terjadi pada mereka berumur 40 dan ke atas. Perut buncit, rambut gugur. Tangan kanannya selalu kebas. Tak ada selera makan (yang itu). Tak ada selera makan (yang lain). Tak ada rasa seronok. Tak ada rasa nak berseronok. Kadang-kadang rasa murung. Selalunya rasa putus asa. Mungkin andropos. Mungkin itu balasan tuhan. Mungkin juga cuma ilusi. Tapi rasanya macam betul. Macam betul.
Setiap pagi, dia rasa semakin malas nak ke pejabat. Dan rasa malas dia menjadi-jadi sejak dia sedar dalam akaun banknya cuma tinggal 24.67. Dia rasa bodoh betul. Habiskan masa hampir 7 tahun untuk pendidikan bernilai lebih 50 ribu (untuk ilmu yang dia sendiri pun dah lupa) dan kerja keras 11 jam sehari 6 hari seminggu dan apa yang dia ada cuma baki bank dengan nilai 24.67. Mungkin itu karma untuk dosa lama. Mungkin itu balasan tuhan. Mungkin juga cuma ilusi. Tapi rasanya macam betul. Rasanya memang macam betul. T ap ii n i f i k s y e n!